Skip to content Skip to footer

Ahli Dewan Negeri
N11 Ijok

YB Jefri bin Mejan (lahir 7 Mac 1979) merupakan seorang rakyat Malaysia yang merupakan seorang ahli politik dan telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) bagi Ijok sejak Ogos 2023. Beliau merupakan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan dahulunya Gagasan Sejahtera (GS). Beliau juga merupakan seorang pempengaruh di platform TikTok dan dikenali menerusi video masakan menggunakan kaedah tradisional seperti menggunakan kayu api yang mengimbau nostalgia zaman dahulu dalam kalangan ramai warganet.

YB Jefri Mejan memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan mekanikal, pendidikan serta latihan kemahiran vokasional, mencerminkan komitmen berterusan beliau terhadap pembangunan ilmu, kemahiran teknikal dan pengurusan pendidikan.

Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Badong dan Sekolah Rendah Agama Bukit Badong, Selangor, sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Raja Muda Musa serta Sekolah Menengah Vokasional Sungai Buloh, dengan pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV).

Minat mendalam dalam bidang teknikal membawa beliau melanjutkan pengajian ke Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), Johor.

Beliau kemudiannya memperkukuhkan lagi kepakaran akademik melalui Sarjana Pendidikan (Pengurusan Disiplin) di Universiti Selangor (UNISEL). Selain pendidikan akademik, beliau turut memiliki pelbagai pensijilan kemahiran profesional, termasuk Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia, Pegawai Latihan Vokasional (VTO) serta pelbagai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang mekanikal dan pembuatan, menjadikan beliau antara individu yang mempunyai gabungan unik antara akademik, kemahiran industri dan latihan vokasional.

Dalam perjalanan kerjaya, YB Jefri Mejan memulakan pengalaman profesional dalam sektor kejuruteraan dan industri pembuatan, termasuk berkhidmat sebagai Machinist, sebelum meningkat kepada Project Engineer dalam syarikat berkaitan pembuatan dan industri.

Pengalaman luas beliau dalam sektor teknikal dan pengurusan membuka ruang kepada penglibatan dalam pembangunan belia, pendidikan dan pentadbiran apabila berkhidmat sebagai Eksekutif Korporat dan Pelaburan di Yayasan Selangor, diikuti pelantikan sebagai Timbalan Pengarah (S44) Bahagian Pembangunan Belia Negeri Selangor di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam sektor pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan melalui jawatan Eksekutif Hal Ehwal Pelajar/Pengajar sebelum dilantik sebagai Pengurus Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di INPENS International College.

Kepakaran beliau dalam bidang latihan kemahiran turut diiktiraf melalui pelantikan sebagai Pegawai Pengesah Luaran Persijilan Kemahiran Malaysia, Pegawai Pengesah Luaran Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) serta Perakuan Pakar Industri (PIND) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Malaysia.

Dedikasi beliau terhadap pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran turut diterjemahkan melalui pengiktirafan seperti Anugerah PeBT Terbaik dan Calon Terbaik Keseluruhan PeBT, membuktikan komitmen beliau dalam memperkasakan pembangunan modal insan serta kepimpinan masyarakat.

Selain cemerlang dalam bidang pendidikan dan kerjaya profesional, YB Jefri Mejan turut aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pembangunan komuniti dan pertubuhan sosial. 

Komitmen beliau terhadap khidmat masyarakat terserlah melalui penglibatan sebagai Kapten (PA) Bersekutu, Pertahanan Awam Malaysia dari tahun 2012 hingga 2018, mencerminkan semangat kesukarelawanan dan kesiapsiagaan dalam aspek keselamatan serta bantuan kepada masyarakat.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi PeBT, Majlis Daerah Kuala Selangor pada tahun 2009, selain berperanan sebagai Exco Pemuda Masjid Ar-Rahman, Kampung Bukit Badong bagi tempoh 2012 hingga 2015, memperlihatkan penglibatan aktif dalam pembangunan institusi keagamaan dan belia.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan komuniti melalui peranan sebagai Exco Ekonomi PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Badong serta Ketua Biro Pemuda JKKK Kampung Bukit Badong pada tahun 2012.

Penglibatan dalam pelbagai organisasi ini menggambarkan komitmen berterusan YB Jefri Mejan dalam memperkukuhkan pembangunan masyarakat, memperkasa belia dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat.

Dalam Pilihan raya negeri Selangor 2018, Jefri membuat penampilan sulung dalam pilihan raya apabila dicalonkan oleh Gagasan Sejahtera (GS) untuk bertanding bagi kerusi negeri Ijok. Beliau tidak terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Ijok selepas tewas kepada Idris Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti kekalahan sebanyak 4,972 undi.

Dalam Pilihan raya negeri Selangor 2023, Jefri dicalonkan semula oleh PN untuk bertanding di kerusi negeri Ijok. Jefri memenangi kerusi tersebut dan terpilih sebagai ADUN Ijok bagi penggal pertama selepas menewaskan Amidi Abdul Manan dari Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas, Tan Cat Keong, dengan majoriti hanya 912 undi.

Sepanjang tempoh berkempen, beliau mengakui mempunyai kelebihan peribadi untuk memenangi kerusi Ijok kerana beliau merupakan anak jati Ijok dan memiliki 196,000 pengikut di TikTok pada Julai 2023, ketika permulaan tempoh kempen. Beliau juga mendapat sokongan dan doa penuh daripada isterinya, Fadlina Ismail, untuk memenangi pilihan raya tersebut.

Sebagai ADUN Ijok, Jefri menyatakan tekadnya untuk merealisasikan komitmen #NafasBaharuIjok selari dengan slogan #SelangorBaharu dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat serta pembangunan Ijok. Beliau berhasrat mengekalkan tradisi dan imej Ijok dari segi persekitaran sebagai sebuah kampung yang aman, harmoni dan membangun.

Beliau juga merancang untuk meraikan kepelbagaian di Ijok melalui pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan semua lapisan masyarakat — daripada kanak-kanak, remaja, dewasa, wanita, keluarga, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) hingga ke warga emas — tanpa mengira fahaman dan pegangan politik, serta memastikan tiada siapa yang tercicir di Ijok.